"Cukuplah dua abang. Ayang basuh hari-hari. Sempatlah Long dengan Angah sekolah pagi dengan agamanya."
loading...
Musim cuti sekolah bakal berakhir dan banyak pasaraya juga mengadakan jualan kembali sekolah untuk ibu bapa menyediakan kelengkapan untuk anak-anak mereka pergi ke sekolah.
Dengan keadaan ekonomi yang membebankan sudah pasti ada segelintir ibu bapa yang berkira-kira untuk membeli kelengkapan seperti baju sekolah untuk anak-anak.
Perkongsian dari Puan Intan Nornie Sheika ini pastinya memberi sedikit pengajaran dan manfaat kepada kita semua supaya bersederhana dalam berbelanja.
"Kedai RM 2 Dan Sebuah Kehidupan"
Awal minggu lalu, melangkah ke Aeon. Ramai amat orangnya. Adam yang sedang demam, ditinggalkan rehat di rumah. Hajat saya nak membeli dua hingga tiga pakaian sekolah. Nak 'grab' mana yang sempat.
Angkat sehelai. RM30. Dibelek yang lain. Baju sahaja minima RM24 satu, belum dipadankan seluar. Laju kepala mencongak.
"Tak cukup bajet ni."
Usai beli barangan dapur saya bergegas keluar mengejar masa. Hati teringatkan Adam di rumah.
Pergi ke kedai yang lebih mampu milik. Kedai yang dulu jarang-jarang ada orang, sangat penuh. Dari mula meletak kereta, hingga ke kaki lima. Ada saja keluarga kecil dengan anak-anak berdiri dan bercakap-cakap sesama sendiri.
"Murah agaknya ni. Ramai orang n," bilang saya pada diri sendiri.
Sebelum keluar dari kereta, cebisan kertas itu diperhatikan berkali-kali. Senarai keperluan sekolah Adam, risau ada terlupa dicatat. Sempat belek helaian kertas dalam beg duit juga. Masuk ke dalam dan belek baju-baju. Lingkungan harga RM13-RM23. Alhamdulillah, mampu milik.
Lalu saya yang cerewet membelek lipatan baju satu persatu. Sampai adik sales person yang manis kerling pada tibu.
"Akak perlukan bantuan? Nak saiz yang mana?" beliau cuba membantu.
"Dik, akak nak belek jahitan dia sikit, boleh ya? Maaf dik kalau akak susahkan kerja adik." jawab tibu sambil memberi sebuah senyuman.
Adik itu menggangguk dan kata, "Sebenarnya supervisor saya tak bagi. Tapi tak apa. Dia tak ada. Akak belek-belek dulu ya."
Sedang tibu asyik membelek-belek, kedengaran perbincangan antara dua orang di lorong sebelah saya rasanya, suara wanita.
"Cukuplah dua abang. Ayang basuh hari-hari. Sempatlah Long dengan Angah sekolah pagi dengan agamanya."
"Uish awaknya. Sempat ke? Kot bawak dek hujan tak berbaju sekolah budak-budak. Ambiklah sehelai lagi. Esok-esok abang tanya Mail kot ada nak upah kutip durian, abang pegilah. Lepas duit bebudak punya kasut pulak," kata lelaki itu, suami wanita berkenaan.
"Tak pun baju Long tu kita pin la kalau-kalau Angah pakai gedeber beso. Takyah la abang pakai duit tu. Esok nak isi minyak lagi," balas wanita itu.
Walaupun suara mereka sangat perlahan, tapi tibu dengar satu demi satu. Mungkin sebab kami memang bersebelahan, cuma dipisahkan oleh rak baju sahaja.
Saya capai tiga pasang uniform dan tinggalkan pasangan itu. Tak sanggup mendengar yang selebihnya. Usai membayar, air mata saya dah mula bergenang. Ya Allah di balik keluh kesah diriku yang keletihan, ramai lagi di luar yang sudah lama jerih, sudah lama pedih. Allahu.
Saya pergi ke 'pit stop' akhir. kedai eko RM2. Berhajat nak mendapatkan keperluan alat tulis dan stokin Adam. Pun penuh, ramai 'yak mat' umat manusia. Yang membeli jajan sepenuhnya bakul. Dalam hati saya ingin memberitahu, namun ditelankan sahaja niat itu. Bimbang suasana tidak sesuai.
"Di sana orang berkira setiap sen yang ada membeli keperluan sekolah. Dekat sini, seronok pula dia masukkan setiap jajan kalori kosong itu sebab murah. RM2 saja kan?" bisik pada hati.
Diambil tiga pek stokin, melintas sebentar ke bahagian barangan anak. Membelek pin dan ternampak pasangan sedang membelek bungkusan beberapa keping 'pampers' yang di pek semula.
"Ambil dulu 4 cukup bang. Habuan tidur malam. Siang pakai ja lampin kain," kata wanita itu kepada lelaki sebelahnya.
Allahu sekali lagi sayup dalam hati. Hari ini Allah kirimkan dua pasangan ini untuk saya pelajari sesuatu tentang kehidupan. Di dalam rintihan kita, Allah ajarkan bahagia itu ada pada jiwa yang syukur setiap apa adanya. Ada orang, yang hari-hari bergelut untuk hidup dengan apa yang dia tak ada. Sedang kita yang hari-hari mengeluh dengan apa yang kita ada.
Kredit- www.kakishare.tv