Bapa durjana rogol anak perempuan berusia 10 tahun mohon diberi hukuman ringan
loading...
Bapa lapan anak, dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan merogol anak perempuannya berusia 10 tahun, September lalu, lapor Harian Metro.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 50 tahun mengaku bersalah terhadap tuduhan. Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 13 Oktober 2017.
Mengikut pertuduhan, peniaga berkenaan didakwa telah merogol anak perempuannya di sebuah rumah tanpa nombor di Beris Kubur Besar, Bachok, di antara jam 9.30 malam hingga 11.15 malam, 22 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian itu tertuduh telah pergi ke rumah bekas isterinya untuk mengambil mangsa tidur di rumahnya. Namun mangsa enggan mengikuti bapanya itu. Tetapi selepas dipujuk oleh ibunya, akhirnya mangsa akur dan mengikuti bapanya.
Pada jam 11.30 malam, mangsa pulang ke rumah dihantar oleh kakaknya dalam keadaan berlainan dan selepas dipujuk, mangsa memaklumkan dia dirogol oleh bapanya dan difahamkan itu bukan kejadian kali pertama.
Pada 12 Oktober lalu, tertuduh sekali lagi datang mahu mengambil mangsa tetapi bekas isterinya enggan membenarkan dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana perlu menyara anak yang ramai.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira perbuatan sumbang mahram terhadap anaknya sendiri.
"Perbuatan keji dengan meragut kesucian anak sendiri ini mengakibatkan mangsa trauma dan saya mohon hukuman sebat turut dikenakan terhadap tertuduh," katanya.
Kredit TheReporter