Header Ads

Info Menarik Hari Ini..

loading...

Memang Tak Sangka! Lihat Jumlah Pendapatan Pemuda Jual Ikan Hiasan Di Terengganu Ni... WOW!

loading...
DUNGUN -- Bermula hanya dengan lima ekor ikan laga pemberian daripada rakan-rakannya, seorang anak muda di Dungun kini menjadi antara usahawan berjaya dalam bidang ternakan ikan hiasan di Terengganu dengan pendapatan bulanan mencecah kira-kira RM50,000.

Mohd Zulazmi Najalhi, 35, dari Kampung Sungai Buaya, di sini, merupakan antara lima usahawan negeri ini  yang terlibat secara serius dalam pembiakan ikan laga ‘Betta Fish” yang sebahagian besarnya terdiri dari jenis ‘halfmoon’, ‘plakat’, ‘crowntail’ dan ‘jumbo’ sejak tujuh tahun lalu.

Pemilik kedai ‘Jojo Betta House’ ini menjadikan kawasan belakang rumahnya sebagai tempat operasi untuk membiakkan dan menjual ikan hiasan itu kepada orang ramai.

Usaha beliau itu turut mendapat sokongan padu daripada 10 anggota keluarganya termasuk ibu bapanya yang mahu memastikan perniagaan keluarga itu mampu menembusi pasaran luar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Mohd Zulazmi  berkata selain menguruskan kedainya beliau turut aktif memenuhi undangan pelbagai pihak untuk menyertai eskpo pameran ikan hiasan di seluruh negara.

"Kebanyakan pelanggan yang datang membeli sekarang ini terdiri daripada peminat ikan hiasan sekitar Pantai Timur.

"Harga jualan bermula dari RM5 dan ada yang mencecah RM300 seekor bergantung kepada jenis gred, spesis dan ciri-ciri keunikan ikan berkenaan," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, beliau banyak mendapatkan bekalan baka terbaharu dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia untuk diternak bagi memenuhi permintaan peminat ikan hiasan tersebut.

Perniagaan Mohd Zulazmi itu turut mendapat perhatian kerajaan negeri  apabila beliau menerima kunjungan Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zawawi Ali baru-baru ini yang meninjau perusahaan ikan hiasannya itu untuk menyalurkan bantuan sesuai.

Din berkata kerajaan negeri akan membantu usahawan tersebut agar menjadi contoh kepada lebih ramai belia Bumiputera untuk turut menceburi bidang ternakan ikan hiasan.

"Tadi pun saya dah lihat keadaan kawasan operasi usahawan ini dan kita akan bantu dalam menaik taraf beberapa kemudahan seperti pengaliran air buangan yang lebih sistematik pada tahun depan.

"Kosnya dijangka mencecah RM200,000 daripada peruntukan Parlimen Dungun dan usahawan ini juga mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu serta beberapa bantuan seperti tangki, bangsal ternakan ikan dan kedai jualan," katanya.

Dalam pada itu, Zawawi turut mengakui bidang penternakan ikan hiasan di Terengganu masih lagi baharu berbanding negeri-negeri di pantai barat yang telah lama melakukannya secara komersial.

Malah beliau berkata sehingga kini, jumlah pengusaha yang aktif menternak dan membiakkan ikan hiasan di negeri ini kurang dari 30 usahawan.

"Selain itu, jabatan akan memperluaskan bidang perusahaan ini, termasuk membantu mengumpulkan mereka yang terlibat dengan menubuhkan kelab usahawan ikan hiasan di Terengganu.

 "Ini bagi memudahkan jabatan menyalurkan sebarang bantuan khidmat nasihat serta sokongan secara lebih tersusun agar ia menjadi satu lagi sumber ekonomi baharu untuk belia di Terengganu," katanya.

-- BERNAMA
Kredit MD

Random Posts

3/randomposts
Powered by Blogger.